WILMINGTON, North Carolina 17 Sept. – Hujan lebat terus melanda North Carolina, menyaksikan bandar Wilmington terputus hubungan akibat banjir dan puluhan ribu kediaman rosak akibat Taufan Florence yang membadai pada Jumaat lalu.
Selain itu, risiko untuk berlaku banjir besar terus meningkat apabila paras air sungai dilaporkan semakin naik ke tahap maksimum.
Jumlah korban Florence meningkat kepada sekurang-kurangnya 15 orang.
Namun, taufan tersebut semakin lemah hari ini dan agensi kaji cuaca meramalkan hujan sebanyak 13 hingga 25 sentimeter akan melanda North Carolina, menjadikan jumlah hujan di beberapa kawasan termasuk berhampiran pantai melebihi 76 sentimeter.
Gabenor North Carolina, Roy Cooper dalam sidang akhbar berkata, paras air kebanyakan sungai semakin meningkat dan dilihat tidak akan turun sehingga hari ini atau esok.
Lebih 900 penduduk diselamatkan daripada banjir dan 15,000 yang lain tinggal di pusat perlindungan sementara.
Gabenor South Carolina mengemukakan amaran yang sama dan menggesa penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir dipindahkan segera.
Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh di North Carolina termasuk seorang ibu dan anak yang dihempap pokok tumbang, manakala lima lagi maut di South Carolina.
Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Daerah New Hanoever, Woody White memberitahu media tempatan bahawa penduduk masih tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing biarpun taufan sudah reda.
“Kesemua jalan yang menghubungkan Wilmington dengan kawasan lain ditenggelami banjir menyebabkan kami terputus hubungan,” katanya.
Di bandar Leland di utara Wilmington, banyak kediaman dan premis perniagaan ditenggelami air, selain stesen minyak tidak beroperasi dan pokok tumbang menutup jalan raya.
Sementara itu, kira-kira 668,000 kediaman dan perniagaan terputus bekalan elektrik di North dan South Carolina, selain lima orang ditahan polis kerana memecah masuk sebuah kedai runcit menyebabkan perintah berkurung waktu malam dikeluarkan. – REUTERS








