Cadang bina LRA - Utusan Malaysia

Cadang bina LRA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 20 Sept. – Kerajaan negeri akan membina Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Layang Dua yang baharu di Pasir Gudang bagi menampung keperluan bekalan air untuk pengguna di selatan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Per­­da­gangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Phua Wee Tse berkata, bagaimanapun, projek pembinaannya masih di peringkat perbincangan antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhid­matan Air Negara (SPAN).

Menurutnya, apabila siap kelak, loji rawatan air itu mempunyai kapasiti 320 juta liter sehari.

“Kita dalam proses untuk membina Loji Rawatan Air La­yang Dua bagi memenuhi ke­perluan pengguna di selatan negeri ini kerana penggunaan air di kawasan terlibat agak tinggi iaitu mencapai 600 juta liter sehari.

“Jadi, kita berpendapat pembinaan loji Layang Dua yang berdekatan dengan Upper La­yang itu dapat memenuhi ke­perluan bekalan air di kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan seminar Melindungi Keluli Zink daripada Penghakisan anjuran Galvanizers Association of Malaysia (GAM) dan International Zinc Association.

Sementara itu, ditanya berhubung kejadian terputus be­kalan elektrik di beberapa kawasan di Johor Bahru pada 6 September lalu, Jimmy berkata, pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan membentangkan laporan lengkap kepada beliau Selasa ini.

“Saya akan mendengar pembentangan TNB berhubung kejadian tersebut dan selepas itu saya akan kongsi hasilnya kepada pihak media,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN