KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, keputusan untuk tidak menghantar calon dan terlibat pada PRK tersebut dibuat oleh BN kerana pengosongan kerusi Parlimen itu dibuat hanya untuk memenuhi kehendak politik individu tertentu.
“Setelah mengadakan mesyuarat khas dan perbincangan oleh Biro Politik UMNO bersama komponen MCA dan MIC, BN mengambil keputusan untuk tidak menghantar calon serta memboikot PRK Port Dickson.
“BN berpandangan bahawa pengosongan kerusi Port Dickson itu dilakukan hanya untuk memenuhi cita-cita politik individu tertentu dan bukan dibuat atas prinsip demokrasi seperti berlaku kematian.
“Keputusan itu adalah muktamad memandangkan kerajaan ketika ini berhadapan dengan masalah kewangan. Kos perbelanjaan sebanyak RM3.6 juta yang diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya boleh digunakan untuk rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.










