Bintang Malaysian Tigress berbisa - Utusan Malaysia

Bintang Malaysian Tigress berbisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTANG hoki wanita negara, Fatin Shafika Mahd. Sukri mendapat rangsa­ngan terbaik bagi menghadapi perlawanan pertama bersama kelab Itali, Butterfly Roma HCC menentang Pol. Ferrini Cagliari dalam saingan Serie A1 hari ini.

Fatin, 23, berjaya menjaringkan satu gol ketika membantu Butterfly Roma mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan HF San Saba pada aksi persahabatan kelmarin.

Satu lagi gol Butterfly Roma dijaringkan oleh seorang lagi bintang Malaysian Tigress yang turut terpilih mewakili kelab berpangkalan di Rom itu, Nuraini Abdul Rashid menerusi pukulan sudut penalti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun berjaya menja­ringkan satu gol padang, Fatin yang dianggap pemain versatil kerana mampu beraksi di bahagian pertahanan dan tengah, masih belum gembira dengan prestasi sendiri kerana merasakan banyak lagi perkara perlu diperbaiki.

“Sentuhan penyudah saya belum tajam kerana ada beberapa peluang untuk menja­ringkan gol tetapi percubaan saya terkena tiang dan berjaya diselamatkan penjaga gol.

“Namun, satu gol ini sekurang-kurangnya meningkatkan keyakinan saya untuk beraksi lebih baik bagi membantu pasukan mencatatkan keputusan lebih baik dalam saingan liga nanti.

“Seronok dapat jaringkan gol dan bantu pasukan memandangkan San Saba adalah lawan kuat kerana mempunyai tiga atau empat pemain bawah 21 tahun dari Argentina. Saya harap terus diberikan kepercayaan selepas ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Pemain dari Selangor itu berharap dapat mengekalkan kecemerlangan itu untuk membantu Butterfly Roma menewaskan Pol. Ferrini hari ini kerana lawan tersebut dikatakan lebih hebat berbanding San Saba.

Sebagai rekod, Fatin dan Nuraini akan menyarung jersi Butterfly Roma hingga tamat saingan liga hoki di Itali musim ini iaitu penghujung November depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini