Bicara saman fitnah Raja Kamarul Bahrin bermula Isnin - Utusan Malaysia

Bicara saman fitnah Raja Kamarul Bahrin bermula Isnin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Perbicaraan kes saman Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah terhadap portal berita, Mynewshub berhubung dakwaan penyiaran artikel berunsur fitnah terhadapnya akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini minggu depan.

Peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi yang mewakili bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu memberitahu pemberita, perbicaraan kes saman fitnah itu akan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Darryl Goon Siew Chye pada Isnin dan Selasa ini.

Menurut beliau, Raja Kamarul Bahrin selaku pihak plaintif akan mengemukakan dua saksi termasuk dirinya manakala portal berkenaan yang dinamakan sebagai pihak defendan hanya akan mengemukakan seorang saksi untuk memberikan keterangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada prosiding hari ini, defendan diwakili peguam Ahmad Hazrin Abdul Rahman.

Menurut pernyataan tuntutan bertarikh 31 Januari 2017, pihak plaintif menyatakan, Mynewshub telah menerbitkan artikel, Wakil Rakyat PAN cuti mewah di UK Abai Mangsa Bah berserta gambar beliau yang didakwa mengandungi kata-kata fitnah sama ada atas kapasitinya sebagai individu atau Ahli Parlimen pada ketika itu.

Pihak plaintif mendakwa, artikel itu membawa maksud antaranya beliau seorang Ahli Parlimen yang tidak jujur, suka hidup bermewah-mewah, tidak prihatin kesusahan rakyat di kawasan Parlimennya kerana sanggup bercuti mewah di London dalam keadaan rakyat menderita kesusahan akibat banjir.

Disebabkan kata-kata tersebut, dakwa plaintif, beliau menanggung malu dan kredibiliti serta reputasinya terjejas.

Justeru itu, pihak plaintif menuntut perintah supaya defendan menarik balik pernyataan tersebut dan memohon maaf secara bertulis untuk diterbitkan dalam portal tersebut, akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian, perintah injunksi, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Mynewshub dalam pernyataan pembelaan bertarikh 13 Mac tahun lalu menafikan sekeras-kerasnya bahawa defendan adalah pemilik dan penerbit portal tersebut seperti didakwa plaintif.

Pihak defendan mendakwa, gambar-gambar tersebut adalah daripada akaun Instagram milik Norynaziz iaitu pemilik akaun bersama dengan pihak plaintif yang ketika itu sedang berada di Hyde Park, London dan Arc De Trompe, Paris dan bukannya daripada Instagram milik defendan.

Pihak defendan menyatakan, pihak plaintif gagal memperincikan bagaimana mereka telah memfitnahnya dan gagal mengenal pasti pihak yang sebenar-benarnya telah menulis, mengarang, membenarkan dan menerbitkan berita dalam portal tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini