SHAH ALAM – Seorang bekas pengawal keselamatan kilang elektronik diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang masih dalam pantang pada 4 Mac 2015.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Azmirul Shamsuddin, 39, berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Mohd. Azman dalam penghakimannya memberitahu mangsa, Rabiatul Adawiah Abd. Aziz, 24, meninggal dunia akibat kecederaan yang dilakukan oleh tertuduh.
“Asid deosiribonukleik (DNA) tertuduh juga dijumpai pada kain lampin bayi (yang diikat bagi menutup mulut mangsa).
“Selain itu, tertuduh menyedari perbuatannya itu boleh menyebabkan kematian,” jelasnya.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa membunuh Rabiatul Adawiah di No. 8, Blok F, Pangsapuri Mentari Court, Sungai Way di sini pada pukul 8.22 malam, 4 Mac 2015.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dengan mengemukakan seramai 14 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula awal Januari tahun ini.
Sementara, tertuduh diwakili oleh Halim Ashgar Mohd. Hilmi dijangka akan memanggil seorang saksi pembelaan nanti.
Mahkamah menetapkan 24 September depan bagi tarikh pembelaan diri.
Kosmo! pada 6 Mac 2015 melaporkan seorang wanita yang masih dalam pantang ditemui mati bersebelahan bayi perempuan yang sedar tidur di dalam bilik rumahnya di tingkat 8 Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway pada 4 Mac 2015. – K! ONLINE










