Bekas penari cipta kereta sport terbang - Utusan Malaysia

Bekas penari cipta kereta sport terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATANGAS, Filipina 27 Sept. – Seorang lelaki di sini me­lan­carkan sebuah kereta sport terbang yang disifatkannya sebagai kereta masa depan.

Ketika kenderaan itu dilancarkan, bekas penari dan juga operator kamera, Kyxz Mendiola kelihatan terbang dan melayang selama beberapa minit dalam kenderaan penumpang tunggal menggunakan kuasa janaan teknologi multicopter yang biasa digunakan dalam pesawat kecil tanpa pemandu atau dron.

“Semua kerja keras saya sudah berhasil dan kereta terbang itu berfungsi dengan baik,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kereta terbang yang diberi nama Koncepto Milenya itu mampu terbang se­ting­gi 6.1 meter dan mencapai kelajuan sehingga 60 kilometer sejam, namun ia hanya mampu terbang selama 10 minit.

Mendiola memberitahu bahawa dia mengambil masa yang lama untuk memperoleh dana bagi membangunkan komponen kereta terbang tersebut menggunakan kuasa janaan enam bateri litium dan dilengkapi dengan alat kawalan frekuensi radio mudah alih.

“Anda hanya perlu menekan butang dan kereta ini akan terbang dan menggunakan alat kawalan untuk mengemudinya,” ujarnya.

Kenderaan tersebut boleh membawa muatan seberat 100 kilogram dan penggunaan pada masa depan dilihat dapat mengurangkan kesesakan di bandar raya Manila.

Selain itu, kenderaan tersebut juga dilengkapi dengan beberapa ciri keselamatan seperti 16 motor berputar bagi memastikan kereta itu boleh terus terbang biarpun ada satu atau dua antaranya rosak.

Sebuah syarikat di Australia kini bekerjasama dengan Medio­la untuk membangunkan kenderaan tersebut selepas video pelancarannya menjadi tular dalam media sosial. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini