Bekas Ketua Menteri Melaka sertai Bersatu - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Menteri Melaka sertai Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN – Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Adib Mohd. Adam mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi malam semalam.  

Penyertaan Mohd. Adib, 77, dalam parti itu disaksikan melalui penyerahan borang keahlian beliau kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.

Hadir sama menyaksikan penyerahan borang itu ialah Ketua Serikandi Bersatu Melaka, Azlina Abdul Rahman.

Pada masa sama, hampir 600 rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menyerahkan borang keahlian Bersatu sekaligus menyatakan kebersamaan mereka terhadap parti itu  sebagai wadah politik yang benar-benar membela masa depan kaum Bumiputera di negara ini.

Sementara itu Mohd. Adib menyatakan keyakinan beliau terhadap Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi.

“Tun Dr. Mahathir ada misi dan visi besar untuk negara,” katanya ketika berucap sempena program Sembang Santai Bersama Penduduk DUN Sungai Rambai semalam. 

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar ketika berucap menggesa setiap orang Melayu bangkit menyertai Bersatu sekaligus memartabatkan perjuangan membela agama, bangsa dan negara sebagai mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Malah, penyertaan orang Melayu dalam Bersatu itu katanya turut menandakan sokongan mereka terhadap gerakan politik pembaharuan kaum itu dalam memastikan agenda Bumiputera diperkasakan semula. 

“Inilah gerakan yang kita (Bersatu) mahu lakukan. Sama seperti usaha nenek moyang kita memerdekakan negara daripada tangan penjajah sebelum ini,” ujarnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN