MELAKA – Penduduk kampung di sekitar Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini gempar dengan penemuan bangkai seekor anak ikan lumba-lumba seberat 35 kilogram (kg) yang terdampar di pesisir pantai tersebut di sini semalam.
Seorang saksi, Azmi Leman, 50, berkata, bangkai spesies terancam neophocaena phocaenoides itu dijumpai oleh sekumpulan pemancing yang melihat satu objek hitam dipukul ombak dan terdampar di pesisir pantai.
“Apabila diperiksa, objek tersebut adalah bangkai seekor anak ikan lumba-lumba.
“Tiada sebarang kecederaan pada badan haiwan itu dan Jabatan Perikanan negeri telah dimaklumkan mengenai penemuan hidupan maritim berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di pantai berkenaan di sini semalam.








