Bahana tularkan promosi produk - Utusan Malaysia

Bahana tularkan promosi produk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebiasaannya bahan pencuci peluntur digunakan sebagai pembunuh hamper setiap kuman yang diketahui boleh menyebabkan penyakit. Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mengesyorkan penggunaan peluntur untuk membunuh virus, bakteria dan kulat, dan seterusnya membantu menghentikan penyebaran jangkitan.

Namun, tidak bermakna anda boleh meminum peluntur. Ini kerana cecair ini hanya digunakan sebagai bahan pencuci yang membasmi kuman dan pensterilan pada baju, permukaan lantai, bilik air dan dapur. Baru-baru ini, kita dikejutkan apabila terdapat peniaga dalam talian berani mempertaruhkan nyawa pelanggannya demi membuktikan kopi yang dijual oleh mereka itu mujarab. Pengendali laman Facebook kopi tersebut turut memuat naik beberapa video yang menampilkan pelanggan berbeza minum kopi yang dicampur cecair peluntur.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengilang kopi pracampur tersebut yang didakwa anti racun dan boleh mengubati pelbagai penyakit yang tular di media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM memandang serius isu itu dan melarang pengusaha makanan atau sebarang pihak membuat aktiviti pemasaran dengan menggunakan bahan yang berbahaya seperti bahan peluntur, racun dan seumpamanya, dalam demonstrasi produk makanan.

Sementara itu, Pakar Bedah Am dan Kolorektal Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Mohamad Ismail Ali berpendapat, perkara ini berlaku akibat salah faham pengguna terhadap promosi berlebihan tentang produk oleh pihak pengusaha yang begitu yakin dengan keberkesanan produk mereka dalam menghilangkan bahan toksik dalam makanan. “Promosi secara berlebihan tentang kelebihan produk akibat keghairahan penjualan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan pengguna.

“Ini boleh menyebabkan pengguna mengambil tindakan kurang bijak dalam menangani masalah kesihatan mereka yang boleh membawa kepada kemudaratan jangka pendek dan jangka panjang,” katanya. Tambah Dr. Mohamad Ismail, peluntur bahaya kerana mengandungi 5.25 peratus sodium hypochlorite. Tidak ketinggalan, peluntur bukanlah bahan yang digunakan dalam produk makanan atau sebarang ubat-ubatan yang dimakan atau diminum.

Walau bagaimanapun, terdapat pengguna yang menggunakan bahan peluntur yang khusus disediakan untuk pencucian bahan makanan dan peralatan penyediaan makanan. Ia merupakan produk khusus dan bukan yang digunakan sebagai bahan pencuci lantai.

“Dos yang digunakan adalah sangat sedikit (satu sudu makan dalam empat liter air). Pengguna adalah disarankan mengikut kaedah penggunaan seperti yang disarankan pengeluar,” jelasnya.

Oleh itu, orang ramai perlu berhati-hati dengan iklan tular yang tersebar. Tular ialah fenomena yang tidak boleh dielak di era internet dan maklumat digital yang sangat mudah dikongsikan merentasi peranti smart seperti telefon, komputer dan televisyen.

“Risiko salah faham dan salah guna maklumat boleh berlaku dengan lebih hebat apabila maklumat yang sama dosmapikan kepada pengguna secara berulang ulang kepada para pengguna, yang menguatkan keinginan untuk percaya maklumat tersebut dan mengambil tindakan untuk berkongsi maklumat dan mencuba saranan dalam maklumat tanpa usul periksa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini