SEBERANG JAYA – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa keputusan parti untuk mengosongkan kerusi Port Dickson tidak sepatutnya dipanjangkan lagi dan sebaliknya tumpuan parti sekarang adalah memastikan kemenangan milik Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, perkara itu kini sudah menjadi “akademik” dan tidak perlu dibincang panjang lagi.
“Saya rasa tumpuan kita sekarang untuk memastikan kerusi Port Dickson itu kekal di tangan Pakatan Harapan melalui PKR dan saya telah menggesa anggota parti untuk bersatu dan bekerja kuat bagi mengekal kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan dengan anggota dan pemimpin PKR dari Wilayah Utara di sini malam tadi.
Mohamed Azmin berkata demikian selepas ditanyakan pandangannya terhadap keputusan pengosongan kerusi Port Dickson bagi memberi laluan kepada Presiden PKR yang dipilih, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding yang didakwa hanya dibuat oleh beberapa individu dalam parti sahaja.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, kelmarin mengumumkan mengosong kerusi yang disandangnya untuk ditandingi Anwar dalam usaha PH agar beliau boleh masuk dalam Parlimen. – Bernama










