KOTA KINABALU – Ahli-ahli Pakatan Harapan diharapkan supaya menyokong pencalonan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan demi memastikan kerusi parlimen berkenaan kekal milik kerajaan.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, komitmen dalam kalangan ahli Pakatan Harapan amat diperlukan bagi memperoleh kemenangan di Port Dickson.
“Saya mengajak kesemua ahli parti menyokong supaya kerusi Parlimen Port Dickson kekal di tangan Pakatan Harapan. Itu sahaja,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai amaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Port Dickson yang melarang Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul berkempen di Port Dickson.
Dalam satu kenyataan semalam, Penyelaras BERSATU Bahagian Port Dickson, Ramli Awang, mendakwa pihaknya tidak dapat menjamin sokongan lebih 2,000 ahli parti di kawasan berkenaan kepada Anwar jika kedua-dua pemimpin PKR terbabit berdegil.
Mohamed Azmin yang enggan mengulas lanjut mengenai larangan itu, sebaliknya mengajak kesemua ahli memastikan kemenangan kerajaan di Port Dickson.
Sementara itu, beliau yang merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi juga menyatakan komitmen kerajaan memberikan 20 peratus hak royalti minyak di empat buah negeri termasuk Sabah.
Katanya, dalam satu perbincangan tertutup bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada hari ini medium pengagihan royalti tersebut akan ditentukan kelak.
“Kita komited dalam melaksanakan janji Pakatan untuk naikkan pembayaran royalti dari lima peratus kepada 20 peratus itu yang telah persetujui.
“Bagaimanapun, kaedah pembayaran dan medium masih belum ditentukan,” jelasnya. – K! ONLINE










