SEREMBAN 27 Sept. – Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bimbang dengan hasrat bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Menurut beliau, terpulang kepada sesiapa sahaja menawarkan diri bertanding dalam sistem demokrasi itu.
“Itu hak dia sebagai rakyat, saya tidak mahu komen kerana dalam sistem demorkasi rakyat yang akan putuskan sebaiknya.
“Dia mempunyai masalah yang diketahui umum tetapi sesiapa pun mempunyai hak untuk bertanding mengikut peraturan dan kaedah yang baik,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan tayangan khas filem tamil Chekka Chi Vantha terbitan DMY Creation Sdn. Bhd. di Era Square, dekat sini malam ini.
Mohd. Isa hari ini mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson.
Bekas Ahli Parlimen Jempol itu berkata, beliau membuat keputusan itu kerana UMNO tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan.
Anwar juga enggan mengulas individu lain yang dikatakan akan menjadi calon dalam PRK berkenan antaranya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohd Ezam Mohd Nor. – UTUSAN ONLINE











