ALOR GAJAH 18 Sept. – Enam buah kumpulan persembahan dari pelbagai agensi menyertai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan peringkat negeri 2018 yang diadakan di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di sini petang ini.
Program tahunan anjuran Jabatan Penerangan negeri itu diadakan bagi mencari pemenang untuk mewakili Melaka di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Pahang pada 5 hingga 7 Oktober depan.
Tahun ini, tema bagi pertandingan kali ini bertajuk ‘Sayangi Malaysiaku’ dan enam kumpulan terlibat adalah Sang Kelebar iaitu kumpulan teater bebas; Legacy of History dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Durian Daun; Sanggar Pujangga dari UCAM.
Turut mengambil bahagian adalah kumpulan Pawana dari Kolej Jururawat; History Thinker dari UCAM dari IPG Durian Daun dan Warisan Kasih dari UCAM.
Majlis perasmian penutup program ini disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Omar Jaafar dan turut dihadiri Pengarah Penerangan Melaka, Shahnon Mohamad dan Naib Canselor UCAM, Prof. Datuk Dr. Faridah Hanam Mohd. Rashid.
Setiap kumpulan dikehendaki menyampaikan persembahan selama 15 minit dan johan bagi pertandingan ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 selain sijil dan hadiah iringan manakala naib johan pula menerima wang tunai RM2,000 diikuti tempat ketiga hingga kelima menerima wang tunai RM1,500.
Kesemua peserta diadili tiga juri iaitu Penolong Setiausaha Cawangan Perhubungan Media Bahagian Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Syed Muhammad Fauzi Syed Mostapa; Pengarah Penyiaran Melaka, Ibrahim Ismail dan pelakon serta penggiat seni tanah air, Roslan Salleh. – UTUSAN ONLINE










