435 haiwan eksotik diselamatkan - Utusan Malaysia

435 haiwan eksotik diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Cubaan tiga lelaki menggunakan jalan laut untuk menyeludup 435 ekor haiwan eksotik dan unggas termasuk dua ekor anak Orang Utan terbongkar apabila kapal tongkang dinaiki mereka ditahan di perairan Pulau Langkawi-Kuala Perlis di sini awal pagi semalam.

Ketiga-tiga suspek warga Indonesia berusia 40 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.25 pagi oleh anggota dari cawangan Penguatkuasaan Kastam Marin Kuala Perlis ketika sedang membuat rondaan di perairan Malaysia-Thailand.

Difahamkan, kesemua haiwan itu dipercayai dibawa dari Sumatera untuk diseludup ke negara Thailand untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Jabatan Kastan Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam berkata, kapal tersebut dikatakan telah pe­nempuh perjalanan laut selama dua hari dengan melalui perairan negara semata-mata untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan di dalam kapal berkenaan telah menemui 39 buah kotak me­ngandungi 435 ekor haiwan eksotik dan unggas.

“Antara yang diselamatkan ialah dua ekor anak orang utan, dua ekor anak musang albino, dua ekor burung cenderawasih, dua ekor burung jenis alba cockatoo dan dua ekor burung electus parrot.

“Turut ditemui ialah 21 ekor burung bayan nuri, seekor burung kuang raya betina, 48 ekor anak buaya tembaga dan 355 ekor tupai jenis sugar glider,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Difahamkan, harga pasaran gelap bagi 435 haiwan eksotik berkenaan adalah RM500,000 dan ia turut digemari wanita bujang untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Jelas beliau, kesemua suspek yang ditahan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan yang dibawa ketika pemeriksaan dilakukan.

“Mereka telah ditahan reman dan haiwan eksotik itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan) Perlis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini