KOTA BHARU – Seramai 30 lelaki yang sedang leka bertaruh judi sabung ayam secara langsung di televisyen menggunakan siaran Thailand melibatkan wang tunai lebih RM10,000 ditahan polis dalam Ops Dadu di sebuah kedai kopi di Kadok, Kereteh di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 64 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Sumber berkata, semasa tiba di kedai kopi berkenaan polis membuat pemantauan selama 10 minit dengan terdapat beberapa lelaki sedang duduk sambil memerhatikan televisyen yang memaparkan pertarungan ayam secara langsung dari negara jiran.
“Sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, seorang lelaki berusia 52 tahun mengaku dia sebagai tuan kedai tersebut. Malah pemilik kedai itu gagal menunjukkan lesen hiburan yang sah mengikut Seksyen 6 Enakmen Kawalan Hiburan Tempatan negeri Kelantan 1998.
“Pemeriksaan terhadap sebuah telefon bimbit seorang suspek mendapati mengandungi aplikasi perjudian yang digunakan untuk judi sabung ayam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, seramai 30 lelaki termasuk pemilik kedai ditahan bersama wang tunai RM10,320.
“Kita turut merampas sebuah televisyen bersaiz 42 inci serta piring telvisyen satelit dan beberapa peralatan lain mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.
“Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” tambahnya. – K! ONLINE










