KUALA LUMPUR 20 Sept. – Sebanyak 30 kakitangan agensi-agensi Kementerian Pengangkutan melawat Studio Pintar anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, Sibermedia Sdn. Bhd. di ibu pejabat syarikat akhbar tersebut, di sini hari ini.
Mereka yang terdiri daripada pegawai perhubungan awam pelbagai agensi di bawah kementerian itu diketuai oleh Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pengangkutan, A. Vigian yang tiba pada kira-kira 3 petang dan disambut oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn. Bhd., Ainol Amriz Ismail; Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Jamal Ahmed; Pengarang Kanan Media Baharu Utusan Malaysia, Aznan Bakar dan Ketua Meja Kota, Roslah Othman.
Kesemua 30 pegawai agensi kementerian itu diberikan taklimat mengenai penawaran kursus-kursus pembuatan dan pengurusan media siber selain melihat operasi harian dan penghasilan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.
Vigian berkata, lawatan itu diadakan bagi melihat operasi Utusan Melayu dengan lebih dekat ekoran Utusan Malaysia merupakan sebuah akhbar utama dalam menyebarkan maklumat-maklumat kepada rakyat.
Beliau berkata, pihaknya juga berminat untuk mencadangkan kursus-kursus itu diikuti oleh kakitangan daripada pelbagai agensi kementerian terbabit.










