3 anggota polis dipenjara culik ahli perniagaan - Utusan Malaysia

3 anggota polis dipenjara culik ahli perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Tiga anggota polis masing-masing dihukum penjara maksimum tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, lima tahun lalu.

Inspektor Mohd. Khairul Hafiz Yaacob, 38, yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang; Lans Koperal Azlan Abdul Kadir, 38, dan Koperal Amran Md. Sali, 42, masing-masing dari di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dijatuhi hukuman itu selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan.

Hakim Mohd. Zulbahrin Zainuddin memerintahkan Mohd. Khairul Hafiz dan Azlan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap mereka pada 11 Oktober 2015 manakala hukuman terhadap Amran berkuat kuasa hari ini.

Beliau turut menolak permohonan tertuduh-tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melarikan secara paksa Datuk K. Gopala Guru, 51, dengan niat untuk menyebabkan mangsa dikurung secara sulit dan salah di Jalan Maharajalela melalui Jalan Loke Yew, di sini antara pukul 7 petang dan 7.30 petang, 2 Februari 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz dan Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pencegahan terhadap kesemua tertuduh dengan mengambil kira faktor mangsa yang diculik dan dilarikan dalam kes ini tidak dijumpai sehingga kini.


“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira perasaan dan emosi keluarga mangsa yang kehilangan seorang bapa, suami dan anak. Perbicaraan ini juga telah mengambil masa yang panjang sejak tahun 2015,” katanya.

Peguam-peguam Mohd. Farid Aziz, Ridha Abdah Subri dan Mohamad Afza Zahari yang mewakili Mohd. Khairul Hafiz dan Azlan dan Amran pula memohon hukuman ringan atas alasan anak guam mereka telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama hampir 20 tahun.

Media sebelum ini melaporkan Gopala Guru yang mempunyai beberapa kelab malam di Lembah Klang, diculik di lot letak kereta di Jalan Maharajalela pada 2013.

Kereta BMW miliknya yang dibakar kemudian ditemui di Hulu Yam, keesokannya. Sehingga kini, polis masih belum dapat menemukan mangsa.

Galeri awam dipenuhi dengan ahli keluarga kesemua tertuduh kelihatan sebak dan menangis teresak-esak selepas mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut dan selesai sahaja prosiding tersebut, ahli keluarga berkenaan dibenarkan berjumpa seketika dengan tertuduh-tertuduh sebelum mereka dibawa ke Penjara Sungai Buloh. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN