PENGKALAN HULU – Seorang pemandu lori dan anaknya maut selepas kenderaan membawa muatan sekam padi yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan dan terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kilometer 15.3, Jalan Pengkalan Hulu-Gerik di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, pemandu lori, Sharul Anuar Abdul Hamid, 46, bersama anak yang juga kelindannya, Mohd. Ikhmal Sharul Anuar, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superitendan Raduan Mohamad berkata, siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan sekam padi itu dalam perjalanan ke arah Gerik dari Pengkalan Hulu.
Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang yang berada di tepi jalan.










