TUMPAT 10 Sept. – Polis Marin Diraja Thailand (RTMP) mengenalpasti sekurang-kurangnya 19 lokasi ‘panas’ yang sering menjadi tumpuan penyeludup di negara berkenaan.
Ketua Stesen RTMP Sub Divisyen 7, Takbai, Mejar Paradom Sawadi berkata, kesemua lokasi itu membabitkan kawasan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Kuala Takbai sehingga ke Buketa.
“Bagaimanapun, pihak kami sentiasa menjalinkan kerjasama utuh dengan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
“Kerjasama ini bertujuan untuk mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah lintas sempadan disepanjang kawasan Sungai Golok,” katanya.
Beliau berkata demikian program rondaan bersama RTMP dengan PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Turut hadir, Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga, Inspektor Reduan Mohidin.
Sawadi memberitahu, kerjasama tersebut membabitkan pertukaran maklumat dalam membanteras perlakukan jenayah di sempadan. – UTUSAN ONLINE










