PUTRAJAYA – Sebanyak 14,000 pemilik lesen memandu terbang diberikan tempoh sebulan untuk tampil dan menyerahkan kembali lesen tersebut kepada Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, data dan rekod pemilik lesen tersebut sudah dikenal pasti dan jika mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan jika sabit kesalahan boleh dihukum minima RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.
“Selama ini kita hanya mengambil tindakan terhadap sindiket yang terlibat dalam kes ini sahaja tetapi kali ini kita ada peruntukan bawah undang-undang untuk ambil tindakan terhadap pemilik lesen terbang ini juga,” katanya pada sidang akhbar berhubung perkara tersebut di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anthony mengesahkan seramai 12 orang pegawai dan anggota JPJ telah tahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 4 September lalu kerana disyaki terlibat dengan sindiket tersebut.
Tangkapan tersebut dibuat melibatkan kakitangan JPJ yang sedang berkhidmat di negeri Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Jelas beliau, modus operandi sindiket tersebut ialah dengan memproses maklumat pemohon dengan menggunakan prosedur penukaran lesen memandu luar negara namun pemohon tidak pernah berkunjung atau bekerja di luar negara serta tidak pernah memiliki lesen memandu luar negara.
“Kita dapati pengeluaran lesen terbang yang dikeluarkan dengan bayaran sebanyak RM2,800 hingga RM3,500,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengarahkan supaya kesemua pegawai dan anggota yang ditahan pihak SPRM supaya digantung kerja dengan serta-merta.
Antara langkah lain yang turut diambil ialah kelulusan penukaran lesen antarabangsa secara automatik hanya dibenarkan di JPJ negeri sahaja dan tidak lagi dibenarkan dibuat di JPJ cawangan.
“Kita juga akan perhalusi lagi kaedah penukaran lesen ini dan akan mempertimbangkan kaedah pengesahan lesen memandu asing,” jelas beliau. – K! ONLINE









