JERANTUT 16 Sept. – Penyelesaian masalah pencemaran air di pusat peranginan Air Terjun Lata Meraung dan hutan simpan di Kampung Baharu di sini masih tidak menemui jalan penghujungnya.
Kemelut sejak sepuluh tahun lalu itu menimbulkan keresahan serta persoalan kepada penduduk Orang Asli etnik Jahut Sungai Kiol dan pengunjung tentang tindakan pihak berwajib menangani kes berkenaan.
Penduduk kesal wujud kegiatan penerokaan hutan untuk pembalakan yang merupakan antara punca kemelut pencemaran berpanjangan sekali gus membuatkan pengunjung menjauhi pusat peranginan tersebut.
Mereka juga berdepan air sungai berkeladak ketika hujan dan musim kemarau yang boleh mengundang komplikasi kesihatan dan pengairan tanaman.
Seorang penduduk Orang Asli Kampung Sungai Kiol, Ali Junoh, 56, berkata, mereka menjadikan hutan di situ sebagai sumber rezeki malah ada yang masih menggunakan air Sungai Meraung sebagai keperluan harian.
“Kami amat berharap segala kegiatan penerokaan hutan sama ada pembalakan atau tujuan lain diberhentikan kerana kawasan ini merupakan lokasi peranginan yang menarik,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kiol dekat sini, semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Damak, Zuridan Mohd. Daud memberitahu, terdapat dua aktiviti yang menyebabkan masalah tersebut berterusan iaitu pembalakan hutan simpan dan perlombongan.
“Selagi kedua-dua aktiviti komersial ini kekal, bermakna isu pencemaran tidak akan selesai malahan penduduk terpaksa menanggung risiko kesihatan, ternakan ikan air tawar mati malahan alam sekitar di sini lambat laun juga akan musnah,” katanya.
Menurut Zuridan, beliau sudah bertemu dengan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Kiol dan penduduk Kampung Baharu serta menerima aduan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggap isu berkenaan cukup serius dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Geosains dan Mineral berkaitan isu ini untuk menyampaikan maklumat supaya dapat diketengahkan kepada kementerian berkaitan.
“Isu ini juga akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi,” ujarnya.










