LONDON – Penyerang Chelsea, Willian kini bersedia untuk terus kekal berada dalam skuad kendalian Maurizio Sarri meskipun sebelum ini dia kurang senang ketika bersama Antonio Conte.
Pemain skuad antarabangsa Brazil itu sebelum ini dikaitkan akan menyertai Manchester United atau Barcelona sekiranya dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Stamford Bridge.
Willian mengakui dia berhasrat untuk terus kekal bersama Cheslea selepas dipujuk oleh Sarri dan pemain berusia 29 tahun tersebut juga turut diturunkan pada babak kedua dalam aksi Piala Pe-risai Komuniti ketika mereka tewas 0-2 kepada Manchester City kelmarin.
“Kenyataan ini sememangnya jelas yang mana saya ingin terus setia di Stamford Bridge dan saya juga tidak pernah memberitahu sesiapapun bahawa akan meninggalkan Chelsea meskipun sebelum ini agak sedih semasa beraksi di bawah Conte.
“Sekarang saya telah membuka lembaran baharu bersama Sarri dan hubungan kami berdua sangat baik sejak dia berhijrah ke sini dari Napoli.
“Saya harap ia akan memberikan kelebihan kepada kami berdua dalam usaha untuk menjulang trofi kemenangan musim depan.
“Tumpuan saya kini hanyalah untuk Chelsea dan tidak tahu apa akan terjadi hari berikutnya.
“Bagaimanapun, harapan saya adalah untuk terus kekal di sini kerana minat saya masih menebal untuk menyumbangkan sesuatu buat Chelsea,” kata Willian. – Agensi










