William nafi Anwar bertanding Parlimen Selayang - Utusan Malaysia

William nafi Anwar bertanding Parlimen Selayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Selayang, William Leong menafikan khabar angin bahawa beliau bakal meletakkan jawatannya bagi memberi laluan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi tersebut pada masa terdekat.

William yang juga calon Naib Presiden PKR berkata, perkara itu tidak dinyatakan secara rasmi lagi oleh pemimpin parti untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Selayang.

“Saya tidak tahu bila tarikh tersebut bakal diumumkan oleh Anwar untuk bertanding bagi membolehkannya menjadi wakil rakyat di Parlimen.

“Namun, saya akur dan bersedia untuk memberikan laluan kepada beliau (Anwar) sekiranya ingin bertanding di Selayang,” katanya kepada Kosmo! Online ketika dihubungi hari ini.

Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan sebanyak tiga PRK perlu diadakan berikutan kematian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sela­ngor dalam tempoh hanya berbaki 15 hari lagi menjelang 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibentuk selepas ia memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. 

Sementara itu, beliau menasihatkan supaya orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.

“Saya harap orang ramai supaya bersabar dan menunggu keputusan secara rasmi yang bakal diumumkan sendiri pemimpin parti.

“Sekiranya spekulasi tersebut diwar-warkan secara meluas di media sosial, ia boleh menjejaskan parti,” ujarnya.

Pada PRU-14 lalu, William berjaya meraih 60,158 undi dengan majoriti 40,657 menewaskan calon daripada Barisan Nasional, Kang Meng Fuat (19,501 undi) dan Datuk Hashim Abdul Karim (Pas) yang hanya mendapat 18,343 undi.

Beliau juga memenangi kerusi tersebut bagi tiga penggal berturut-turut sejak PRU 2008 lepas. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN