PEMAIN skuasy negara, Low Wee Wern berada dalam kelas tersendiri apabila mencetak hatrik dengan merangkul tiga gelaran Persatuan Skuasy Profesional (PSA) berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Australia 2018 semalam.
Kejayaan itu sememangnya menjadi satu suntikan semangat terbaik buat Wee Wern yang genap usia 28 tahun pada 25 Julai lalu untuk menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia dari 18 Ogos ini hingga 2 September depan.
Atlet yang menghuni ranking ke-70 dunia itu muncul juara selepas menewaskan pemain dari Mesir, Hana Ramadan 11-6, 11-9, 10-12, 11-6 pada final di Mulgrave Country Club.
“Saya sangat gembira kerana berjaya memenangi tiga gelaran PSA berturut-turut selepas kembali aktif ‘turun gelanggang’ ekoran kecederaan (lutut) sebelum ini.
“Ia membuktikan segala kerja keras saya selama 20 bulan amat berbaloi. Sekarang masa untuk saya pulang dan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya dipetik menerusi status yang dimuat naik dalam laman sosial Twitter peribadinya semalam.
Bulan lalu, Wee Wern berjaya menjuarai Terbuka Malaysia 2018 dan Terbuka Tasmania 2018. Ini membolehkan pemain dari Pulau Pinang itu melonjakkan rankingnya daripada tangga 184 ke No. 70 dunia.
Lebih manis, dua kejayaan itu menyaksikan Wee Wern yang pernah menduduki ranking kelima dunia dua tahun lalu, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan PSA untuk bulan Julai.
Wee Wern selepas ini dijadualkan bergandingan dengan Datuk Nicol David, S. Sivasangari, Aifa Azman dan Rachel Arnold dalam acara berpasukan wanita pada Sukan Asia 2018.










