MENYIMPAN barang kemas, barangan berharga dan duit di dalam peti besi keselamatan di rumah bukan menjadi amalan wanita di negara ini. Mereka lebih suka menyimpan barang-barang tersebut di tempat-tempat tersorok yang kadang-kadang sampai terlupa di mana mereka menyimpannya.
Sebenarnya, tabiat menyimpan barang berharga di dalam peti besi keselamatan harus digalakkan bukan sahaja bagi wanita tetapi juga lelaki.
Ini bagi menjamin keselamatan barangan tersebut, memudahkan untuk dicari dan menyukarkan perompak yang menceroboh ke dalam rumah untuk mencurinya.
Realitinya setiap rumah atau pejabat perlu memiliki sebuah peti besi sebagai langkah berjaga-jaga bagi menyukarkan cubaan merompak.
Inilah yang ingin disarankan oleh personaliti Dunia Lelaki minggu ini, Raja Izzuwin Raja Izzuddin Iskandar Shah, 38.
Menurut Pengarah Urusan, Ritz Boxs Global ini yang merupakan pembekal peti besi keselamatan, pihaknya sangat menggalakkan setiap rumah mempunyai peti besi bagi tujuan keselamatan.
Ujarnya, bukan sahaja perompak, tetapi orang-orang yang tidak dijangka seperti kawan-kawan, jiran, kawan-kawan anak dan sebagainya juga boleh menjadi dalang untuk mencuri.
“Jika tuan rumah menyimpan barang-barang berharga di dalam peti besi, pasti sukar untuk mereka mencurinya kerana kesukaran untuk membuka dan mengakses peti besi ini.
“Setiap unit peti besi keselamatan mempunyai sistem kunci unik supaya pemilik rumah tidak bimbang dengan risiko kehilangan barangan berharga mereka. Lebih canggih lagi, sistem kunci itu kini dipertingkat menggunakan imbasan ibu jari.
“Selain itu, peti besi ini boleh dihubungkan dengan sistem penggera bunyi keselamatan yang membolehkan pemilik rumah dan premis mendapat manfaat dua kali ganda,” katanya semasa ditemui Mega Rona di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Raja Izzuwin menambah, peti besi keselamatan dari Korea Selatan ini seberat antara 2.5 sehingga 50 kilogram dijual pada harga serendah RM1,580 hingga RM2,800 dengan tujuh saiz.
Peti besi yang paling kecil mudah diangkat dan dibawa oleh wanita jika mereka ada tugasan di luar.
Sehingga ke hari ini, lebih 30 unit telah berjaya dijual dalam tempoh sebulan sejak berada di pasaran pada bulan Jun lalu dan kebanyakan pembelinya adalah wanita.
Ujarnya, pihaknya turut menawarkan jaminan selama setahun selain harga yang berpatutan berbanding pesaing lain yang menjual peti besi ini pada harga RM2,000 ke atas.
Raja Izzuwin memberitahu, pihaknya turut merancang membawa masuk peti besi keselamatan yang menggunakan sistem kunci menggunakan wajah dan suara pada tahun depan.
Mereka yang berminat membeli atau mendapatkan maklumat lebih lanjut boleh melayari akaun media sosial Instagram @Ritzboxsglobal.










