KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kementerian Industri Utama mendedahkan punca harga minyak sawit tempatan merudum pada waktu ini adalah disebabkan lebihan stok pengeluaran bahan komoditi tersebut di seluruh negara.
Menterinya, Teresa Kok berkata, selain terpaksa berhadapan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot minyak sawit tempatan, Malaysia juga perlu bersaing dengan negara jiran, Indonesia yang memasarkan minyak sawit dengan harga lebih rendah harganya kepada negara-negara pengimport.
Namun, beliau menjelaskan, kualiti minyak sawit dari negara ini adalah paling baik berbanding negara-negara lain.
“Kualiti minyak sawit kita adalah paling baik. Namun, Indonesia telah menjual minyak mereka dengan harga lebih murah kepada negara-negara pengimport terutamanya China.
“Dalam persaingan ini, kita tidak boleh mengambil langkah dengan merendahkan lagi harga jualan minyak sawit tempatan. Langkah ini hanya merugikan lagi pekebun-pekebun kecil kita,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. -UTUSAN ONLINE










