[VIDEO] Peniaga Medan Selera Semarak tuntut pembelaan DBKL, pemaju - Utusan Malaysia

[VIDEO] Peniaga Medan Selera Semarak tuntut pembelaan DBKL, pemaju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Sebanyak 32 peniaga Medan Selera Semarak di sini bakal kehilangan mata pencarian apabila tapak perniagaan yang diusahakan mereka sejak 38 tahun lalu didakwa akan diroboh oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak lama lagi.

Kebimbangan itu tercetus ekoran tapak perniagaan milik DBKL itu akan memberi laluan kepada projek pelebaran jalan raya yang sudah pun bermula sejak dua tahun lalu di Jalan Sultan Yahya Petra (Semarak).

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Datuk Keramat, Shoid Chee mendakwa, tindakan pihak berkuasa yang tidak mahu berkompromi mengenai penyediaan tapak baharu dan bayaran pampasan membuatkan golongan peniaga rasa teraniaya.

“Nasib peniaga di sini cukup malang kerana langsung tidak dibela malah lesen perniagaan mereka juga tidak dibenar diperbaharui oleh DBKL tanpa sebab yang munasabah. Ini seolah-olah memberi gambaran mereka tidak boleh lagi berniaga dan perlu membuat haluan sendiri.

“Lebih menyedihkan perniagaan mereka juga sudah lama merosot kerana pelanggan tidak boleh singgah di kawasan ini kerana keadaan persekitaran sudah dikelilingi projek pembinaan selain diancam pencemaran debu dan habuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam himpunan membantah tindakan pemaju dan DBKL bersama 32 penjaja Medan Selera Semarak, di sini, kelmarin.

Katanya, sehingga kini, peniaga masih tidak mahu mengosongkan gerai berkenaan walaupun telah menerima notis daripada pemaju kerana kegagalan DBKL memenuhi tuntutan menyediakan tapak perniagaan baharu.

“Peniaga hanya mahu tapak perniagaan yang baharu sebagai ganti. Bagaimanapun, permintaan ini seperti tidak dipedulikan langsung oleh DBKL.

“Sehubungan itu, kami mahu kerajaan campur tangan untuk membela nasib peniaga di sini memandangkan mereka sudah lama berniaga di situ,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN