KUALA LUMPUR 6 Ogos – Nurul Izzah Anwar menegaskan untuk mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya, sekali gus membayangkan tidak akan memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
![]() |
|
NURUL IZZAH ANWAR
|
Menurutnya, beliau komited untuk mempertahankan jawatannya sehingga tamat penggal lima tahun.
“Saya komited untuk kekal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kerana mempunyai beberapa projek seperti pelancaran pameran rumah reka batik yang sedang dilaksanakan.
“Jadi, saya akan kekal kepada cinta abadi saya iaitu Permatang Pauh sehingga tamat penggal saya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau diminta menyatakan sama ada akan melepaskan jawatan ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Anwar yang juga bapanya.
Terdahulu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan akan mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Wan Azizah berkata, beliau juga tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Pandan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR baharu itu.
Semalam, Anwar menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR sekali gus mengambil alih jawatan tersebut daripada Wan Azizah yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Sehingga penerimaan borang pencalonan ditutup pukul 5 petang semalam, hanya Anwar mengemukakan borang pencalonan sebagai Presiden PKR. – UTUSAN ONLINE











