KUALA LUMPUR 31 Julai – Biarpun sudah berpuluh kali dilaporkan di dada akhbar, masalah kerosakan jalan di sekitar Jalan Chan Sow Lin di sini bagaikan tiada kesudahan.
Saban tahun, orang ramai yang menggunakan laluan itu terpaksa berdepan dengan keadaan jalan berlekuk, berlubang, berpasir dan berdebu.
Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan tidak ada jalan seteruk Jalan Chan Sow Lin meskipun terletak dalam lingkungan jarak kurang 10 kilometer dari pusat banda raya Kuala Lumpur.
Aduan demi aduan yang diaju kepada pihak berkuasa tempatan bagaikan mencurah air ke daun keladi kerana punca sebenar kepada permasalahan yang tidak diatasi dengan baik.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa jalan sekitar kawasan industri lama itu mendapati salah satu daripada punca masalah itu adalah operasi jentera-jentera pengangkut konkrit yang ‘berpusat’ di kawasan itu.
Bukan sahaja merosakkan permukaan jalan, tumpahan simen yang kerap berlaku juga menjadikan permukaan jalan tidak rata dan sentiasa berpasir.
Justeru, pengguna laluan berkenaan mahu pihak berkuasa bertindak lebih tegas terhadap syarikat-syarikat yang bertanggungjawab kepada masalah kerosakan jalan di sini.










