MATARAM 6 Ogos – Lombok sekali lagi digegarkan dengan gempa bumi sekuat 7 Richter semalam, menyaksikan sekurang-kurangnya 98 orang terbunuh dan 236 lagi cedera, selain banyak kemusnahan besar dilaporkan berlaku di sekitar kawasan pulau ini.
Menurut jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Kebangsaan (BNPB), Sutopo Purwo Nughoro, jumlah korban dijangka meningkat berdasarkan banyak kemusnahan infrastruktur dilaporkan termasuk ribuan bangunan runtuh terutamanya di kawasan utara Lombok.
Bekalan elektrik dan komunikasi juga terputus di beberapa kawasan di pulau ini dan pasukan tentera Indonesia giat menghantar bantuan perubatan serta barangan keperluan asas menggunakan kapal kepada penduduk tempatan.
Pada 29 Julai lalu, seramai 17 orang maut selepas gempa bumi berukuran 6.4 Richter melanda Lombok sehingga menyebabkan beratus-ratus pendaki terperangkap di Gunung Rinjani.
Agensi Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG) memaklumkan terdapat lebih 120 gempa susulan direkodkan berlaku sejak semalam.
Lebih 2,000 pelancong dipindahkan dari pulau Gili Indonesia, iaitu tiga pulau terumbu karang yang terkenal dalam kalangan backpackers dan penyelam dan terletak beberapa kilometer dari pantai barat laut pulau Lombok yang lebih besar.
Rakaman pegawai penyelamat menunjukkan beratus-ratus pelancong panik dan penduduk setempat pula memenuhi kawasan pantai tidak sabar menantikan pengangkutan untuk keluar pulau yang cantik itu.
Setakat ini, tiada warga asing dilaporkan terkorban dalam kejadian gempa bumi ini.
Terbaharu, 10,000 orang dilaporkan telah dipindahkan dari Lombok.
Kawasan tumpuan utama pelancong iaitu di selatan dan barat pulau berkenaan terlepas dari mengalami kerosakan yang sangat teruk.
Pantai Lombok yang cantik menarik pelancong dari seluruh dunia tetapi sesetengah pelancong yang dilanda ketakutan telah meninggalkan pulau berkenaan.
Kebanyakan mangsa bencana gempa bumi ini meninggal dunia di utara dan timur Lombok. Beribu-ribu telah dipindahkan ke tempat perlindungan.
Gempa tersebut turut dirasai di Bali dan dua orang meninggal dunia.
Lapangan terbang antarabangsa Bali turut mengalami kerosakan pada terminalnya tetapi landasan tidak terjejas dan operasi telah kembali normal.
Dalam pada itu, para pelancong berbaris panjang di terminal lapangan terbang Lombok untuk keluar dari pulau ini sehingga memaksa syarikat penerbangan negara ini, Garuda Indonesia menambah bilangan penerbangannya.
Selain itu, kerajaan Singapura mengeluarkan notis melarang rakyatnya mengunjungi Lombok ketika ini dan meminta mana-mana penduduk yang berada di pulau ini segera pulang ke Singapura.
Gempa itu turut dialami delegasi Singapura yang mengadakan persidangan di Lombok, diketuai oleh Menteri Perundangan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam. – REUTERS










