Usahawan kecil tidak boleh terlalu ‘selesa’ - Utusan Malaysia

Usahawan kecil tidak boleh terlalu ‘selesa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kira-kira 80 peratus daripada 920,000 peniaga di negara ini merupakan usahawan bumiputera mikro dengan sebahagian besar terlibat dalam industri makanan.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Seri Syed Hussien Al-Habshee berkata, mereka menjalankan perniagaan dibantu kurang daripada lima pekerja sepenuh masa de­ngan jualan tahunan tidak melebihi RM300,000.

Katanya, melalui kongres masa depan bumiputera dan negara, pihaknya berharap 10 peratus daripada usahawan mikro berjaya meningkatkan perniagaan dan berada dalam kalangan usahawan kecil.

“Ada yang sudah terlalu lama menjadi usahawan mikro dan ini mungkin terjadi kerana mereka tidak mengetahui langkah yang perlu diambil sekiranya ma­hu berada di kedudukan lebih baik.

“Usahawan ini perlu men­dapat bimbingan termasuk bagaimana cara terbaik untuk mengembangkan perniagaan, meluaskan pasaran serta meningkatkan pendapatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Se­ri Mohamed Azmin Ali berkata, satu kongres masa depan bumiputera dan negara akan diadakan dalam tempoh terdekat sejajar dengan agenda memperkasa ekonomi bumiputera.

Melalui kongres itu, pa­kar-pakar ekonomi daripa­da pelbagai sektor akan dikumpulkan bagi membin­cangkan langkah untuk mem­perkukuh ekonomi bumiputera.

Jelas Syed Hussien, bagi usahawan kecil, kebiasaannya mereka mampu mencapai jualan tahunan sehingga RM3 juta, manakala usahawan sederhana pula mampu membuat jualan sehingga RM20 juta setahun.

“Kongres itu juga perlu memberikan penekanan ter­hadap jualan dalam talian kerana pada masa kini pengguna lebih suka membuat pembelian secara e-commerce atau membeli secara dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr. Baayah Baba berkata, kongres berkenaan perlu memastikan hak-hak serta kepentingan Melayu dan bumiputera terus ter­bela dengan mengambil kira dasar-dasar sedia ada.

Pensyarah Kanan Putra Business School, ­Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula mahu tumpuan diberikan terhadap isu bankrap yang majoritinya berlaku terhadap golongan muda dalam kalangan anak-anak Melayu serta memberi penekanan terhadap isu bebanan hutang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN