PONTIAN 6 Ogos – Semua lapisan masyarakat diminta meningkatkan kesedaran dan menjaga kebersihan di kediaman dan premis masing-masing bagi membanteras penularan penyakit berjangkit seperti demam denggi.
Penyelaras Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) Kampung Dalam, Nasir Abd. Ghani berkata, kerjasama daripada semua pihak perlu bagi memastikan membendung kes demam denggi seperti yang dilaporkan pada awal tahun ini.
Selain itu, sekiranya ada penduduk khususnya ahli keluarga yang mengalami demam berpanjangan, mereka harus segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
“Combi Kampung Dalam dengan kerjasama ahli-ahli jawatankuasa akan terus memberikan kesedaran kepada penduduk supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya,” katanya selepas menyertai Gotong-royong Mega, Perangi Aedes 1.0 peringkat daerah, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Combi daerah, Noraini Turot meminta orang ramai mengambil langkah pencegahan awal bagi membendung penularan demam denggi dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes kerana penyakit tersebut boleh menyebabkan kematian.
Menurutnya, sama ada mereka penduduk setempat atau tinggal menyewa perlu bersama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.
“Bukan sesuatu yang membebankan orang ramai jika bersama-sama menjaga kebersihan, terutamanya kawasan sekeliling rumah, membuang sampah di tempat yang disediakan serta menyertai gotong-royong dianjurkan oleh pihak yang berkenaan,” katanya.
Seorang penduduk, Siti Noor Jannah Abd. Azim, 61, turut berharap semua pihak mengambil berat tentang demam denggi dan kesannya kepada kehidupan.
“Saya juga berharap penduduk bersama-sama menyertai aktiviti gotong-royong yang diselia oleh Pejabat Kesihatan daerah dengan dibantu oleh agensi lain bagi membendung penularan demam denggi,” katanya.









