KUALA NERANG – Satu sindiket penyeludupan daun ketum ke Thailand dikesan mengeksploitasi warga asing sebagai pembungkus daun tersebut dengan menempatkan mereka di bangsal atau pondok daif di kawasan terpencil di Naka di sini sejak dua tahun lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, kegiatan sindiket didalangi dua lelaki berketurunan Siam itu terbongkar selepas polis menyerbu dua buah bangsal dan sebuah pondok di Jalan Nami, Kampung Baru Thai dan Kampung Berdikari pada Ahad lalu.
“Bertindak atas maklumat penyeludupan daun ketum dan dadah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman berjaya mengenal pasti sindiket ini yang bergiat aktif di kawasan Naka.
“Hasil siasatan itu, kita membuat serbuan di dua lokasi tersebut dan menahan seorang penduduk tempatan berketurunan Siam serta dua warga asing dari Myanmar dan Thailand,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap di sini semalam.










