PUTRAJAYA 6 Ogos – Kementerian Kesihatan memberikan tumpuan serta pemerhatian yang lebih kepada kumpulan-kumpulan sasar termasuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam usaha menangani isu penularan jangkitan HIV di negara ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, adalah penting bagi kementeriannya untuk memberikan perhatian sewajarnya terhadap kumpulan yang berisiko tinggi jangkitan itu termasuk memahami impak-impak sosiologi dan psikologi mereka.
“Pastinya ada golongan-golongan sasar yang merupakan kumpulan berisiko tinggi dengan faktor predisposisi.
“Lalu, adalah mustahak bagi kementerian memberikan tumpuan dan pemerhatian yang lebih kepada kelompok ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Yayasan Dianogstik Baru Inovatif (FIND) dan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) untuk kerjasama dalam kajian serta pembangunan satu strategi inovatif bagi ujian diagnostik Hepatitis C.
Utusan Malaysia pada Rabu lalu menyiarkan satu laporan khas berhubung statistik yang menunjukkan golongan LGBT sebagai kelompok tertinggi dijangkiti HIV iaitu mewakili 50 peratus kes baharu dilaporkan sepanjang 2017.
Berdasarkan laporan Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, sebanyak 1,697 individu yang mengamalkan tabiat seks songsang seperti homoseksual dan biseksual adalah sebahagian daripada 3,347 kes HIV baharu dicatatkan pada tahun lalu.
Sementara itu, Dzulkefly turut ditanya tentang laporan khas Mingguan Malaysia semalam berhubung statistik yang menunjukkan orang Melayu paling ramai dijangkiti virus berkenaan sepanjang 2017.
Menjawab isu berkenaan, beliau berkata, kementerian sangat memahami serta menyedari tentang perkara itu dan pihaknya akan lakukan yang terbaik dari segi pendekatan perubatan dan kesihatan tanpa memperbesar-besarkan isu terbabit.
“Ini bukan isu politik tetapi masalah kesihatan. Adalah tanggungjawab kami sebagai kementerian untuk menangani semua ini dengan cermat dan baik tanpa menjadikannya isu yang lebih dari itu, yang dipolitikkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











