SUNGAI BULOH 6 Ogos – Tujuh buah keluarga merayu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak supaya melanjutkan tempoh pemindahan keluar dari kediaman di Lorong Melati, Kuang di sini sebelum kerja-kerja merobohkan dilakukan.
Notis perintah pemindahan yang dikeluarkan pada 6 Julai lalu mengarahkan supaya sebarang rumah kediaman dan premis dikosong atau dipindahkan bagi tujuan menaiktaraf persimpangan Jalan Kuang di sini.
Peguam mewakili penduduk, Adzly Manas berkata, cara pengendalian pihak berkuasa berhubung pengambilalihan tanah tidak disenangi penduduk ekoran tempoh yang terlalu singkat untuk berpindah.
“Rata-rata penduduk ramai dalam kalangan warga emas dan mereka memerlukan tempoh lebih panjang untuk mengemas serta menguruskan perkara logistik termasuk mencari kediaman baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada masa sama, kerja-kerja merobohkan struktur kediaman atau premis oleh kontraktor dilantik yang bermula hari ini terhenti ekoran bantahan penduduk yang masih belum mengosongkan kediaman mereka. – UTUSAN ONLINE










