KUALA LUMPUR 6 Ogos – Satu jawatankuasa pemilih dalam membincangkan isu-isu semasa dan penting sebelum dibahaskan ke Dewan Rakyat perlu ditubuhkan bagi mempercepatkan proses penyelesaian isu-isu terbabit.
Saranan itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang berkata, pada masa ini, ahli-ahli Parlimen mengambil banyak masa di peringkat dasar dalam membahaskan sesuatu isu dan perkara sama juga yang dibahaskan di peringkat jawatankuasa.
“Anggota jawatankuasa pemilih itu perlu terdiri daripada ahli Parlimen mewakili kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.
“Kita akan mempunyai banyak masa untuk membincangkan beberapa isu penting yang dapat diselesaikan pada peringkat jawatankuasa pemilih. Jadi, apabila keputusan dibuat dan dibahaskan dalam Dewan Rakyat, perkara itu senang diluluskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Menurut Johari, cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut telah diusulkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.
Katanya, beliau juga bercadang untuk membuat beberapa lawatan ke luar negara yang mengamalkan jawatankuasa pemilih dan akan belajar bagaimana mereka menjalankan sistem tersebut. – UTUSAN ONLINE










