Tindakan Neymar makan diri - Utusan Malaysia

Tindakan Neymar makan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAO PAULO 31 Julai – Tindakan Neymar membuat iklan khas dengan mengaku dia memang kadang-kadang sengaja berlakon seperti dicederakan dengan teruk ketika Piala Dunia lalu dijangka bakal memakan diri penyerang Paris Saint Germain (PSG) itu.

Pakar-pakar pemasaran di Brazil malah menjangkakan imej pemain itu akan bertambah buruk berikutan penipuan tersebut yang mendapat kritikan meluas banyak pihak.

Di bawah tajuk iklan A New Man Every Day (Jadi Lelaki Baharu Setiap Hari), rakaman video yang disokong penaja Gillette itu disiarkan di beberapa saluran televisyen di negara kelahiran pemain itu.

“Anda mungkin fikir saya terlalu melebih-lebih (berlakon). Memang saya kadang-kadang bertindak begitu. Tetapi kebenarannya saya menderita ketika di atas padang,” kata Neymar merujuk kepada kekasaran yang kerap dialaminya dalam Piala Dunia lalu.

“Saya ambil masa lama sebelum dapat menerima kritikan yang dilontarkan. Saya juga ambil masa lama untuk cermin dan nilai diri saya kembali untuk menjadi lelaki baharu yang lebih baik,” tambahnya.

Dengan Brazil disingkirkan oleh Belgium dalam peringkat suku akhir Piala Dunia 2018 di Rusia, pakar pemasaran pantas menyifatkan iklan tersebut pasti akan merosakkan nama pemain berusia 26 tahun itu.

“Dunia pemasaran sukan menanti 15 hari selepas berakhir Piala Dunia untuk mendengar penjelasan beliau. Pada awal kenyataannya, dia tidak mengaku terlebih berlakon daripada bermain bola.

“Tetapi sekarang dia menggunakan iklan komersial di televisyen untuk mengakuinya. Memang hebat penaja di belakangnya. Tetapi sangat tidak baik untuk karier Neymar kerana dia kini terpaksa berdepan dengan krisis imej yang lebih besar,” kata Amir Somoggi, rakan kongsi dalam syarikat pemasaran Sports Value di sini.

Sementara itu seorang konsultan pemasaran sukan, Erich Beting pula menganggap iklan yang ditonjolkan itu disiarkan pada masa yang salah.

“Masalah Neymar berlaku di atas padang dan dia jelas tidak akan berubah seperti mana yang dinyatakan dalam iklan tersebut. Itu fakta dan tindakannya menggunakan iklan untuk mengaku ibarat tin kosong kecuali selepas ini dia dapat menunjukkan perubahan sebenar dalam dirinya,” kata Beting.

Pandangan itu turut dipersetujui seorang lagi konsultan dalam bidang sama, Jose Colagrossi.

“Berbeza jika dia membuat pengakuan dengan ikhlas seperti dalam sidang akhbar secara berdepan dan bukannya bersembunyi di belakang iklan komersial yang ditaja,” katanya.

Ini bukan kali pertama Neymar menggunakan iklan untuk mengendalikan krisis imej yang dihadapinya. Pada 2011, dia juga dikritik kerana berkelakuan tidak senonoh dan menggunakan iklan syarikat telekomunikasi Nextel untuk memberi penjelasan kepada peminatnya. AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN