KUALA LUMPUR 6 Ogos – Tiket berharga RM34 untuk golongan muda bagi menyaksikan Festival Muzik K-Wave 3 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 Ogos ini, habis dijual.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur, MacpiePro, tiket yang dijual khas untuk peminat berusia antara 15 hingga 17 tahun itu habis dijual dalam tempoh seminggu selepas jualan pakej masuk dijual pada orang ramai.
Pakej masuk untuk menonton konsert yang dijayakan oleh tujuh kumpulan idol K-Pop itu meliputi harga tiket konsert, yuran pemprosesan yang berharga RM4 serta Sim Pek Mcalls Y33 yang bernilai RM30.
Antara artis yang akan menjayakan persembahan yang bermula pada pukul 8 malam itu ialah FT Island, Exid, Monsta X, AOA, Jeong Sewoon, WJSN dan Boyfriend.
Selain pakej masuk untuk remaja habis dijual, pakej masuk bagi Ecolite Zone P (L) dan S (L) serta Dutch Lady Zone P (R) dan S(R) juga mendapat sambutan hangat.
Bagi yang belum membeli tiket, pakej masuk bagi zon lain masih boleh didapati, tetapi Rock Zone dan Long TV Zone M hanya tinggal tempat terhad. Dapatkan segera sebelum kehabisan. Semua pakej masuk boleh didapati dengan melayari laman web www.mcalls.asia/kwave3. – UTUSAN ONLINE










