IPOH 1 Ogos – Kes keracunan makanan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping berulang lagi dan kejadian terbaharu berlaku hari ini melibatkan tiga pelajar.
Ketiga-tiga pelajar lelaki berusia 16 dan 17 tahun itu dimasukkan ke Hospital Taiping setelah mengalami gejala keracunan makanan seperti muntah, cirit-birit dan sakit perut.
Bagaimanapun, dua pelajar telah dibenarkan pulang setelah sejam menerima rawatan manakala seorang lagi masih dirawat di wad pemerhatian hospital tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ketiga-tiga pelajar terbabit dirujuk ke hospital itu pada pukul 12 tengahari apabila mengalami gejala keracunan makanan setelah bersarapan di dewan makan asrama tersebut.
Katanya, selain tiga pelajar itu, beliau juga difahamkan terdapat 20 pelajar MRSM lain mengalami tanda-tanda serupa namun mereka mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran.
“Laporan lengkap kes ini masih belum diperolehi. Setakat ini yang dirawat di Hospital Taiping hanya tiga orang, selebihnya mungkin mendapatkan rawatan di klinik kesihatan. Saya masih belum dapat jumlah sebenar.
“Ketiga-tiga pelajar yang dirawat di sini telah diberikan rawatan segera dan dimasukkan air ke dalam badan. Dua daripadanya telah dibenarkan pulang manakala seorang lagi berada di wad pemerhatian,” katanya ketika ditemui selepas melawat pelajar yang terlibat di Hospital Taiping, di sini hari ini.
Pada 12 Julai lalu, seramai 31 pelajar MRSM Taiping mengalami keracunan makanan setelah dipercayai memakan hidangan daging masak lada hitam di dewan makan asrama sekolah berkenaan.
Kesemua pelajar tersebut mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Taiping setelah mengalami gejala seperti muntah, sakit perut dan cirit-birit namun hanya seorang yang dimasukkan ke wad dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menetapkan standard yang perlu dipatuhi dalam aspek penyediaan makanan dan bagi MRSM ia di bawah bidang kuasa Majlis Amanah Raya (Mara).
“Bagi kerajaan negeri kita akan membantu bagi memastikan kejadian sama tidak akan berulang lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










