TFC I tak jangka menang besar - Utusan Malaysia

TFC I tak jangka menang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURULATIH Terengganu Football Club I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim mengakui tidak menjangka pasukannya mampu menang besar dalam aksi pertama Kumpulan A Piala Malaysia ketika menundukkan Kuala Lumpur 5-1 di tempat lawan, Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Irfan memberitahu, pasukannya hanya yakin untuk memperoleh tiga mata ketika bertemu skuad kendalian Fabio Silva bagi menebus kekecewaan apabila terlepas peluang mengakhiri saingan Liga Super di tempat kedua, namun tidak menjangkakan dapat mencatatkan kemenangan besar.

“Saya tidak jangka kami mampu menang sehingga 5-1 kerana pasukan hanya yakin menang dengan satu atau dua gol ketika bermain di Cheras.

“Setelah kami bermain dalam enam per­lawanan terakhir dalam saingan Liga Super, TFC I bolos 12 gol dan saya memberitahu pemain ia sudah tiba masanya untuk kami menghentikan memberi gol mudah kepada pihak lawan.

“Persembahan Lee Tuck yang sangat positif telah membantu pasukan kerana kehadirannya mampu melancarkan serangan yang baik dan sangat berbeza berbanding ketiadaannya sebelum ini.

“Sebelum ini ketiadaannya bersama Thierry Bin sangat dirasai oleh pasukan apabila kami gagal beraksi seperti yang diharapkan,” katanya.

Dalam aksi itu, kapten TFC I, Kipre Tchetche berjaya mencatat hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-25, ke-55 dan ke-72. Lee Tuck dan Igor Zonjic masing-masing meledak sa­tu gol pada minit ke-44 dan ke-64.

Gol sagu hati Kuala Lumpur hadir hasil sentuhan Mohamad Zaquan Adha Abd. Rad­zak ketika perlawanan berbaki lima minit sebelum wisel penamat.

Sementara itu, Irfan turut gembira apabila pemainnya dapat menunjukkan pe­r­u­bahan yang drastik dalam aksi pembu­ka­an itu, sekali gus segala perancangan pasukan dapat diterjemahkan dengan baik.

“Pemain dapat mengikuti segala taktikal yang direncana pasukan yang mana mereka berjaya mengekang kemaraan pemain te­ngah Kuala Lumpur, Paulo Jouse yang sa­ngat memberikan ancaman kepada kami.

“Kali ini pemain TFC I mampu menyekat gerakan Josue, sekali gus Kuala Lumpur gagal menyengat di barisan depan terutama­nya menerusi gerakan Guilherme De Pau­la,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN