Sukan Asia 1986 menjadi antara penganjuran paling membimbangkan dalam sejarah ekoran berlakunya letupan bom di kawasan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kimpo, beberapa hari sebelum temasya itu berlangsung.
Letupan itu mengorbankan lima orang manakala 21 yang lain cedera parah dan 36 lagi mengalami kecederaan ringan.
Kejadian mengerikan itu menyebabkan Korea Selatan kerugian besar kerana lebih daripada 66,000 pelancong membatalkan hasrat untuk menyaksikan temasya 1986 kerana bimbangkan keselamatan mereka.
Penurunan kehadiran pelancong memberikan tamparan hebat kepada pengusaha hotel dan rumah tumpangan di Seoul serta kawasan luar bandar yang sebelum ini diarahkan untuk menyediakan bilik eksklusif kepada pelancong asing yang akan hadir menyaksikan Sukan Asia 1986 selama 16 hari itu.
Atas permintaan kerajaan, pihak pengurusan hotel membuat pinjaman sebanyak AS$3 juta (RM12.24 juta) untuk menaik taraf kemudahan dan mengharapkan lambakan pelancong bagi membolehkan mereka membuat pembayaran semula.
Ketua Polis Korea Selatan, Kang Min-chang tanpa berselindung mendakwa tindakan itu dilakukan jiran mereka Korea Utara dengan niat untuk mengganggu penganjuran temasya 1986 yang merupakan penganjuran sukan terbesar pernah dianjurkan di negara itu.
Sukan Asia disebut-sebut sebagai medan untuk menguji segala kemudahan infrastruktur di negara itu sebagai persediaan mereka untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1988.
“Kami melihat perkara ini sebagai tindakan Korea Utara atau elemen sabotaj daripada negara komunis utara.
“Tanpa sebarang keraguan bahawa letupan ini dilakukan dengan niat untuk mengganggu perjalanan penganjuran sukan di sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas kejadian itu.
Sejurus selepas letupan itu berlaku, pihak berkuasa Korea Selatan mempertingkatkan kawalan keselamatan di kesemua lapangan terbang bagi mengekang sebarang insiden tidak diingini.
Segala kerosakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kimpo segera diperbaiki bagi menyambut ketibaan delegasi daripada 25 negara bertanding.
Walau bagaimanapun, Presiden Jawatankuasa Olimpik Jepun berkata, dia tidak percaya Korea Utara akan melakukan tindakan keganasan bagi menghalang penganjuran Sukan Asia sambil menyatakan negara komunis itu diberikan kebenaran untuk menjadi penganjur bersama Sukan Olimpik 1988.










