Tabung Hari Pahlawan hanya kutip RM2.5j - Utusan Malaysia

Tabung Hari Pahlawan hanya kutip RM2.5j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali tibanya Hari Pahlawan yang disambut 31 Julai setiap tahun, rakyat Malaysia memang tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada bekas perajurit terutama yang terkorban berjuang mempertahankan kemerdekaan negara.

Ini termasuk di media sosial yang menyaksikan laman Twitter dan Facebook dilimpahi ucapan Selamat Hari Pahlawan daripada pemimpin politik sehinggalah artis selain sepakat menentang keras tuntutan golongan yang mahukan sejarah Parti Komunis Malaya (PKM) diberi lebih tempat dalam buku teks.

Namun, dalam masa sama, sedar atau tidak, Tabung Pahlawan yang dilancarkan setiap tahun hanya mampu mengutip dana kira-kira RM2.5 juta sahaja, jumlah yang sememangnya sangat kecil seperti dibangkitkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada pelancaran tabung berkenaan Selasa lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bila dihitung secara perbandi­ngan dengan jumlah 30 juta rakyat Malaysia, ini bersamaan sumba­ngan 8.5 sen iaitu tidak sampai 10 sen untuk setiap seorang.

Wajarkah respons dingin ditunjukkan sedangkan pelbagai nikmat kemakmuran dirasai hasil pengorbanan anggota keselamatan yang sudah bersara atau masih berkhidmat.

Itu pun, sebahagian besar jumlah daripada RM2.5 juta adalah sumbangan syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Jika diambil kira sumbangan individu, jumlahnya jauh lebih kecil dan seharusnya sesuatu perlu dilakukan bagi memberi makna kepada semangat patriotisme rakyat Malaysia agar tidak sekadar ucapan di skrin telefon pintar.

Sebagai perbandingan, di Bri­tain, rayuan sumbangan seperti ini yang bertemakan bunga poppy yang sering kelihatan disemat di baju pengurus dan pemain ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang November mengutip 50 juta pound (RM265 juta) pada tahun lalu.

Sokongan mereka terhadap kempen rayuan derma untuk veteran tentera itu cukup menebal sehingga sanggup dihukum FIFA kerana kesalahan menunjukkan simbol politik apabila pasukan kebangsaan England, Wales, Scotland dan Ireland Utara menyemat bunga poppy di baju pemain pada 2016.

Ingatlah, terdapat kira-kira 400,000 veteran tentera di seluruh negara dan sebahagian daripada mereka memerlukan perhatian wang ringgit masyarakat Malaysia selain penghargaan berterusan.

Paling utama, melibatkan kira-kira 4,000 pesara tentera serta 500 balu veteran yang tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU).

Ramai menuding jari kepada GLC, tetapi dalam hal ini, lebih bernilai jika sumbangan datang dari kocek individu setiap rakyat. Usah terlalu mengharapkan sumbangan korporat dan swasta, selalunya dihulur jika melibatkan inisiatif langsung kerajaan – seperti ada udang di sebalik batu dalam mencari manfaat untuk mereka.

Sedangkan pemurahnya rak­yat Malaysia sudah masyhur dari ibu negara sehingga ke tanah suci. Cuma perlu dihalakan ke tempat yang sepatutnya, ingatlah dan hargai pengorbanan perajurit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×