Syabu RM1.56 juta dirampas, 4 ditahan - Utusan Malaysia

Syabu RM1.56 juta dirampas, 4 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – 4 lelaki ditahan manakala sebanyak 31.11 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.56 juta dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kajang dan Tanjung Malim kelmarin.

Serbuan pada pukul 9 hingga 10.55 malam itu telah dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, tiga suspek pertama yang berusia di antara 23 hingga 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Sungai Long, Kajang.

“Pemeriksaan yang dilakukan di rumah tersebut telah menemui sebanyak 30 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu bernilai RM1.56 juta yang disorokkan di dalam bilik stor rumah terbabit.

“Soal-siasat yang dilakukan ke atas tiga suspek tersebut kemudiannya membawa kepada satu lagi tangkapan seorang lelaki berusia 52 tahun di hentian rehat dan rawat (R&R) di Tanjung Malim pada hari yang sama,” katanya dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Mohmad, pihaknya percaya bahawa dadah-dadah tersebut akan dijual di pasaran tempatan termasuk Sabah dan Sarawak bagi kegunaan kira-kira 103,000 penagih melalui keldai dadah dan perkhidmatan kurier. 

“Selain bungkusan dadah tersebut, pihak polis turut menyita empat buah kenderaan, dua buah motosikal dan sejumlah wang tunai bernilai RM79,000,” ujar beliau.

Mohmad berkata, semakan yang dilakukan mendapati keempat-empat suspek yang tidak bekerja itu tiada sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing adalah negatif.

“Tiga suspek yang ditahan di Kajang akan direman hingga 6 Ogos manakala seorang lagi suspek akan direman sehingga Jumaat ini.

“Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jelas Mohmad, serbuan tersebut merupakan susulan daripada kes rampasan dadah sejumlah 100 kilogram di Sandakan, Sabah oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) pada Februari dan April lalu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN