KUALA TERENGGANU 1 Ogos – Kontinjen Terengganu yang disertai 716 atlet akan membawa misi untuk merampas semula kejuaraan Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma XIX) yang dijadual berlangsung di Perak dari 12 hingga 22 September ini.
Kontinjen tersebut yang diterajui chef de mision Samiun Salleh yang juga Datuk Bandar Kuala Terengganu (MBKT) meletakkan sasaran pungutan 69 emas bagi memastikan pencapaian itu seiring dengan pelaburan besar kerajaan negeri dalam membangunkan bakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya yakin Terengganu akan dapat merampas semula kejuaraan daripada Selangor berdasarkan persediaan rapi kontinjen.
Katanya beberapa acara utama yang mampu meraih banyak pingat emas terutama basikal, judo dan memanah menjadi sandaran.
“Kita akan turun dengan misi merampas semula kejuaraan daripada Selangor, dan setakat ini kerajaan negeri memperuntukkan RM8 juta untuk persiapan kontinjen kali ini,” katanya.
Beliau menyatakan kepada pemberita selepas majlis Pelantikan Bapa Angkat Bagi Setiap Acara Sukma 2018 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di di sini hari ini. Yang turut hadir, Samiun dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.
Dalam majlis itu, kumpulan atlet dalam setiap acara sukan yang disertai diserahkan kepada ‘bapa angkat’ masing-masing yang terdiri daripada kalangan wakil-wakil rakyat di negeri ini selain pegawai daerah serta ketua jabatan.
Wan Sukairi seterusnya percaya dengan dorongan serta suntikan semangat daripada `bapa-bapa angkat’, Terengganu mampu membawa pulang kejuaraan dengan pungutan pingat melebihi sasaran ditetapkan.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memberi insentif kepada mana-mana atlet yang berjaya mengharumkan nama Terengganu.
“Insentif memang ada tapi kita akan lihat dulu pencapaian atlet dalam kejohanan itu nanti,” katanya sambil menambah Terengganu akan menyertai 26 daripada 29 acara dalam temasya itu nanti.
Kali terakhir Terengganu menjulang kejuaraan ialah pada tahun 2012 – UTUSAN ONLINE










