KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh isterinya dalam pembunuhan ngeri menyaksikan mayat wanita itu dikerat enam sebelum dimasukkan ke dalam dua beg pakaian dan dibuang di tebing Sungai Gombak di Jalan Ipoh dekat bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 5 Julai lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Md. Shahzada Saju, 37, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.
Mengikut pertuduhan, Shahzada yang bekerja sebagai penyelia tukang cuci di sebuah pusat beli-belah didakwa membunuh Sajeda-E-Bulbul, 30, yang juga warga Bangladesh di sebuah bilik tidak bernombor di Jalan Sultan Azlan Shah di sini antara pukul 4.15 pagi 3 Julai hingga 3.16 pagi 5 Julai lalu.
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.











