STOLport nadi pertumbuhan Mukah - Utusan Malaysia

STOLport nadi pertumbuhan Mukah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Lapangan Terbang Mukah, Sarawak, adalah sebuah la­pangan terbang pelepasan dan pendaratan pendek atau Short Take-Off and Landing (STOLport) yang merupakan satu daripada 39 lapangan terbang dikendalikan oleh Malaysia Airports di seluruh Malaysia.

Menyedari sistem perhubu­ngan perjalanan yang singkat dan cepat amat diperlukan di kawasan pedalaman, sebagai organisasi yang bertanggungjawab, Malaysia Airports telah menggalas tanggungjawab untuk mengendalikan STOLport tanpa mengenakan se­barang cas perkhidmatan penumpang, sekali gus menjadi penyumbang serta penggerak utama ekonomi di daerah itu.

Lapangan terbang yang dibina pada tahun 1986 itu menghubungkan penduduk Mukah dengan destinasi lain seperti Bintulu, Kuc­hing, Miri, Sibu dan Tanjung Manis.

Dengan adanya lapangan terbang itu, jurang di antara penduduk bandar dan luar bandar dapat dihapuskan apabila ba­nyak aktiviti ekonomi, pendidikan serta pembaharuan berjaya dilaksanakan.

Buktinya, pada tahun 2017 sahaja, lapangan terbang ber­kenaan telah mengendalikan lebih kurang 37,000 penumpang setahun de­ngan bilangan penerbangan sebanyak 4,200 dan frekuensi sebanyak 12 penerbangan sehari.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu yang turut mentadbir selia STOLport Mukah, Zainuddin Abu Nasir ber­kata, walaupun ia hanya sebuah lapangan terbang di pedalaman, peranannya adalah sama penting dengan lapangan terbang besar yang lain.

“Sebagai pengurus lapangan terbang ini, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan ke­selamatan serta keada­an lapangan terbang di­selenggara secara berkala mengikut ketetapan yang telah disediakan kerana soal ke­selamatan tetap menjadi agenda pertama kami.

“Selain itu, melihat bilangan individu yang dapat dihubungkan dengan jaringan lapangan terbang kami juga merupakan satu kepuasan dalam kerjaya saya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, STOLport Mukah juga berperanan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan secara tidak langsung berupaya meningkatkan taraf kehidupan komuniti di daerah itu.

Menurut Ahli Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapa­ngan Terbang (AFRS), Brian Irong, kehidupan di Mukah kini le­bih selesa dan kos sara hidup juga lebih rendah sekali gus memboleh­kan Mukah menjadi kawasan membangun apabila dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat dengan memberi peluang pekerjaan.

“Dapat bekerja di tempat asal juga merupakan impian kebanyakan individu namun tidak semua dapat mencapainya. Oleh itu, dengan kewujudan lapangan terbang ini, impian itu bukan sekadar mimpi lagi,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Ke­selamatan Penerbangan, Halman Nan berkata, waktu kerja di Lapangan Terbang Mukah yang lebih fleksibel dapat memberikannya peluang untuk meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga.

“Saya melihat STOLport Mukah memberi banyak kebaikan kepada penduduk setempat sebagaimana saya sendiri yang dapat bekerja di tempat asal.

“Peranan STOLport Mukah bu­kan hanya memfokuskan kepada perkhidmatan untuk meng­hubungkan masyarakat, ia juga penting bagi melestarikan kehidupan sejagat masyarakat setempat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN