WASHINGTON 5 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pentadbirannya didakwa merancang untuk melucutkan status pelarian daripada jutaan penduduk Palestin.
Al-Jazeera yang memetik majalah Foreign Policy (FP) mendedahkan bahawa Trump dan menantunya yang merupakan penasihat kanannya, Jared Kushner sering ‘mengganggu’ Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).
Pada Januari lalu, kerajaan AS menahan bantuan dana sebanyak AS$65 juta (RM265 juta) daripada AS$125 juta (RM510 juta) yang diperuntukkan kepada badan agensi tersebut selepas Trump menuduh penduduk Palestin tidak berterima kasih atas sumbangan wang berjumlah jutaan dolar.
Sejurus selepas keputusan itu diumumkan, Kushner memaklumkan bahawa adalah penting kerajaan AS secara jujur dan ikhlas ‘mengganggu’ UNRWA.
“Agensi tersebut melindungi hal-hal semasa, melakukan rasuah, tidak cekap serta tidak membantu untuk meningkatkan keamanan,” tulis Kushner menerusi satu e-mel yang dihantar kepada para pegawai kanan kerajaan AS.
Selain itu, pegawai kerajaan Palestin memaklumkan kepada FP bahawa Kushner dipercayai menekan Jordan supaya melucutkan status pelarian terhadap lebih dua juta penduduk Palestin, sekali gus bakal menyaksikan UNRWA tidak dapat meneruskan operasinya di negara tersebut.
Namun, White House sehingga kini enggan memberi sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.
Laporan itu juga menyebut terdapat dua rang undang-undang dana Kongres AS yang cuba mengalihkan lebih banyak bantuan dana daripada UNRWA dan secara tidak langsung langkah tersebut boleh mengurangkan jumlah pelarian Palestin yang layak mendapat bantuan dari negara ini.
Kesemua langkah tersebut merupakan sebahagian daripada ‘perjanjian abad ini’ yang dilakukan oleh Kushner untuk menyelesaikan konflik Israel dan Palestin.
Dalam pada itu, UNRWA dalam satu kenyataan kepada Al-Jazeera menyatakan bahawa agensi tersebut tidak boleh memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut dengan alasan tidak mempunyai maklumat lengkap mengenainya.
“Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi kami mandat untuk terus menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin sehingga jalan penyelesaian untuk menyelesaikan konflik yang berlaku ditetapkan,” jelas agensi itu.
Pesuruhjaya Tinggi UNRWA, Pirre Krahenbuhl menyatakan potongan bantuan yang dilakukan oleh pentadbiran Trump menjejaskan perkhidmatan serta tanggungjawab dasar agensi tersebut termasuk bantuan makanan di Semenanjung Gaza, perubatan dan pendidikan.
Sementara itu, Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi memaklumkan bahawa mengekalkan perkhidmatan UNRWA adalah satu usaha murni dan menjadi tanggungjawab semua komuniti antarabangsa untuk mempertahankannya.
Menerusi Twitternya, Ayman memberitahu isu pelarian Palestin perlu diselesaikan berdasarkan resolusi PBB, Inisiatif Keamanan Arab serta keperluan hak dan pampasan yang layak diterima oleh penduduk Palestin.










