KUALA LUMPUR 6 Ogos – Gamuda Bhd. (Gamuda) muncul antara syarikat paling terjejas setakat ini disebabkan beberapa keputusan kerajaan dengan terbaharu melibatkan pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dengan nilai RM2.55 bilion.
Saham Gamuda susut 4.12 peratus atau 16 sen kepada RM3.72 manakala Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. (KPS) susut 5.79 peratus atau 11 sen kepada RM1.79 sekali gus muncul antara kaunter paling rugi selepas sesi dagangan ditutup petang ini.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki kepentingan 10.3 peratus dalam Gamuda setakat 1 Ogos 2018. Gamuda memiliki kepentingan 40 peratus dalam Splash manakala KPS pula 30 peratus dan selebihnya dimiliki Sweet Water SPV Sdn. Bhd.
Laporan akhbar berbahasa Inggeris, The Edge yang memetik sumber menyatakan Gamuda berminat untuk menerima tawaran berkenaan dengan anak syarikat yang 80 peratus milik Gamuda, Gamuda Water Sdn. Bhd., akan terus menjadi kontraktor operasi dan penyelenggaraan untuk Loji Rawatan Air SSP3.
Dalam kenyataan Jumaat lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KPS, Ahmad Fariz Hassan berkata, menerusi cadangan pengambilalihan oleh Air Selangor, KPS kini semakin hampir bukan sahaja kepada satu resolusi membabitkan usaha penstrukturan semula sektor air di negara ini tetapi juga bagi syarikat.
Tawaran itu sah sehingga 10 Ogos 2018 manakala perjanjian jual beli antara Splash dan Air Selangor akan dimeterai tidak lewat daripada 14 September 2018 tertakluk kepada pertanyaan wajar dan kelulusan pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa dan pemegang saham.
Rawatan air adalah antara penyumbang utama perniagaan konsesi Gamuda termasuk lebuh raya yang ditempatkan di bawah entiti tersenarai, Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) dengan Gamuda mempunyai 43.58 peratus kepentingan.
Penganalisis AmBank Research, Joshua Ng Chin Yuing berkata, Gamuda dijangka bersedia menyelesaikan penilaian tersebut pada harga diskaun 27 peratus dengan mengambil kira konsesi pengeluaran air oleh Splash tidak lagi mapan.
“Ini memandangkan Syabas tidak berupaya menyelesaikan amaun yang dibilkan oleh Splash disebabkan ketidakupayaannya meningkatkan tarif di sebalik kenaikan kos (termasuk kadar bekalan air pukal).
“Malah, Syabas juga tidak mampu untuk melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan air tidak berhasil (NRW) disebabkan kekurangan dana,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Menurut beliau, Gamuda juga tidak diberi garis panduan mengenai dividen khas selepas melupuskan Splash yang mana ia bercadang untuk menyuntik wang tersebut bagi membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM32 bilion.
Katanya, sebahagian daripada projek itu melibatkan Gamuda dari segi pembinaan jajaran LRT di Pulau Pinang bernilai RM8 bilion, rangkaian jalan raya dan infrastruktur lain (RM8 bilion) dan penambakan bank tanah baharu (RM16 bilion).
“Ini menyebabkan kami berhati-hati dengan prospek sektor pembinaan tempatan memandangkan kerajaan mengurangkan projek infrastruktur awam bagi mencapai kewangan berhemah. Bagaimanapun, kami percaya fokus kerajaan akan beralih daripada projek mega kepada projek yang berskala kecil dengan infrastruktur asas.
“Sudah tentu ini tidak memberi manfaat kepada kontraktor berskala besar seperti Gamuda. Ini ditambah pula dengan kelembapan pasaran hartanah turut memberi kesan kepada segmen hartanah Gamuda dan juga pengambilalihan jalan bertol,” katanya.
Pada 30 Mei lalu, saham Gamuda susut 23 peratus kepada RM3.18 sesaham selepas kerajaan membuat keputusan menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Gamuda adalah syarikat yang membentuk konsortium dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang dilantik sebagai rakan kongsi penyampaian projek (PDP) bagi membina jajaran utara projek rel tersebut.
Selain itu, Gamuda juga menerima kesan daripada pembatalan projek MRT3 setelah disebut-sebut antara syarikat yang akan memperoleh tender turnkey projek berkenaan bersama MMC Corp. dan George Kent Bhd.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Januari 2018, konsesi air dan lebuh raya menyumbang RM257.6 juta atau 7.4 peratus kepada jumlah pendapatan Gamuda dan 42.3 peratus daripada keuntungan sebelum cukai sebanyak RM527.64 juta.
Sementara itu, firma penyelidikan JF Apex Research menjangkakan perjanjian itu akan berjalan lancar berdasarkan kepada kesungguhan kerajaan persekutuan yang baharu dan kerajaan negeri Selangor menyelesaikan kemelut masalah air.
“Kami berpendapat, Gamuda akan menerima perjanjian ini kerana cadangan melupuskan Splash telah lama berlarutan. Ini kerana Gamuda perlu mengekalkan sebahagian besar daripada jualan bagi tujuan perbelanjaan modal (capex) untuk Pelan Induk Penangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan bukannya memberi kesemuanya sebagai dividen khas,” katanya.









