KUALA LUMPUR 6 Ogos – Pelakon dan model jelita, Siti Saleha terpilih menyertai program realiti Extreme Ends bersama tiga lagi selebriti Asia Tenggara yang lain.
Siti Saleha telah pergi ke Hong Kong baru-baru ini bagi menjalani penggambaran untuk program sebanyak empat episod yang memaparkan sisi bertentangan aktiviti ekstrem yang terdapat di negara itu.
Siri terbitan asal bercorak santai ini akan mempertontonkan pengalaman percutian para selebriti dan tetamu mereka.
Dalam program yang bakal disiarkan menerusi saluran aksi KIX HD (Astro 729) itu, Siti Saleha bersama suami, Ahmad Lutfi Azhar (Fi) akan mengembara dan mencipta pengalaman baharu sebagai pasangan suami isteri sempena ulang tahun perkahwinan pertama mereka.
“Saya teruja untuk memulakan rancangan Extreme Ends dengan KIX kerana belum pernah membintangi rancangan aksi dan pengembaraan atau siri realiti sebelum ini. Ini juga pengalaman pertama saya di Hong Kong dan saya berharap peminat akan terhibur menyaksikan saya melakukan pelbagai aktiviti baharu dan menarik di sana.
“Lebih menyeronokkan apabila suami saya, Fi, akan turut serta. Sepanjang perkenalan kami, Fi sering memberi galakan dan mencabar saya untuk menerokai pengalaman baharu. Oleh itu, dia adalah teman yang paling sesuai untuk menerokai tempat-tempat baharu di sana,” kata Siti Saleha.
Selain itu peminat juga akan dapat menyaksikan wajah negara Hong Kong yang tidak pernah dipaparkan. Setiap episod akan menggambarkan tema bertentangan yang ekstrem seperti pantas berbanding lambat atau tinggi berbanding rendah.
Tema-tema ini akan mempamerkan perbezaan ketara yang sangat menarik dan ciri khas Hong Kong yang bergaya. Extreme Ends akan disiarkan secara eksklusif pada bulan Oktober nanti. – UTUSAN ONLINE










